An interview by Syiffa Rosman of Peduli Merah for Suara Empuan series on the topic of starvation to prevent periods due to period poverty (kemiskinan haid). The article was first published on 25th January 2022 in Bahasa Melayu (Malay Language) here. Republished on this website with permission.

Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Dr Hannah Nazri mengenai kemiskinan haid.


Peduli Merah: Kami ingin dapatkan pendapat Dr Hannah berkenaan isu kemiskinan haid di mana ada kes-kes wanita yang memilih untuk mengandung bagi mengelak kitaran haid. Adakah ini suatu senario yang sihat? Jika Dr Hannah ada nasihat dan saranan tentang isu ini boleh kongsikan kepada kami?

Dr Hannah: Ini juga adalah keputusan yang ekstrem dan bukan senario yang sihat. Bayangkan, wanita tersebut sanggup mengalami kehamilan, yang seperti saya tegaskan, meletakkan stres fisiologi tambahan kepada badan mereka. Ini juga membuktikan persepsi rumahtangga tersebut yang lebih menjurus kepada pemikiran bahawa produk-produk sanitari bukanlah satu keperluan dan hanyalah masalah wanita. Persepsi ini adalah anti-wanita. Tambah lagi, wanita yang hamil perlu mendapatkan penjagaan perubatan yang optimal untuk kesihatan ibu dan anak. Ini boleh meletakkan tekanan berlebihan kepada keluarga tersebut dari segi masa dan kewangan dalam jangka masa terdekat dan panjang. Pada pendapat saya, anak yang dilahirkan ke dunia ini sepatutnya adalah kerana mereka dikehendaki oleh ibu bapa mereka tanpa sebab lain, bukan untuk menyelesaikan masalah keluarga.

Sebenarnya, terdapat pelbagai alternatif produk-produk haid seperti menstrual cup yang boleh menjimatkan wang kerana ini boleh diguna pakai berkali-kali buat jangka masa yang panjang. Namun, bukan semua wanita selesa dengan anatomi masing-masing dan ada situasi-situasi di mana menstrual cup tidak sesuai buat wanita tersebut. Kos untuk membeli menstrual cup juga mungkin menjadi penghalang. Jika sebuah keluarga mempunyai pendapatan isi rumah yang rendah, umpamanya, <RM 2500 (golongan B40), dan pengeluaran kewangan yang tinggi untuk membayar sewa, kereta dan pelbagai keperluan lain seperti makanan, susu untuk anak, tadika dan sebagainya berjumlah rata-rata >RM2,300 di Kuala Lumpur, membeli menstrual cup yang rata-rata berharga RM100-200, walaupun sekali, bukanlah satu prioriti.

Selain dari menstrual cup, terdapat juga pad sanitari yang diperbuat dari kain yang mungkin lebih sesuai untuk golongan yang berpendapatan rendah. Namun, kita tidak harus membuat andaian tersendiri mengapa pad sanitari kain bukan pilihan yang popular untuk golongan ini tanpa menyelidik faktor-faktor budaya dan sosial.

Sekali lagi, saya ingin tegaskan, kerajaan haruslah menjadi lebih proaktif dalam menangani kemiskinan haid. Kita tidak boleh bergantung kepada badan-badan NGO untuk menyelesaikan masalah ini.

Peduli Merah: Berkenaan pengurusan sanitari pula, ada sesetengah wanita memilih untuk memakai pad atau produk sanitari dalam jangka masa yang lama dan mengabaikan penukaran pad secara berkala. Apakah kesan yang boleh berlaku disebabkan tindakan ini?

Dr Hannah: Kelembapan yang terperangkap dalam pad atau produk sanitari adalah tempat pembiakan bakteria dan kulat yang kondusif. Memakai pad untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan jangkitan bakteria dan candidiasis (kulat). Geseran kulit vulva dengan pad yang lembap boleh menyebabkan ruam dan ini boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada jangkitan. Risiko untuk mendapat toxic shock syndrome dari pemakaian pad adalah rendah berbanding dengan pemakaian tampon dan menstrual cupToxic shock syndrome, di mana bakteria memasuki peredaran darah dan mengeluarkan toksin, jarang berlaku namun boleh membawa maut.  

Oleh itu, saya sarankan wanita supaya menukarkan pad untuk memastikan anda kering sekerap mungkin. Ini bergantung kepada jenis pad dan aliran darah haid. Menukar pad pada setiap 3-4 jam disarankan untuk aliran darah yang tinggi, manakala menukar pad pada setiap 6-8 jam adalah untuk aliran darah biasa. Walaubagaimanapun, jika anda mendapati bahawa anda menukar pad anda setiap 45 minit-1 jam, atau anda mendapati bahawa haid anda mengganggu kehidupan seharian anda, sila rujuk kepada pakar perubatan anda.

Nota Editor

Nursyuhaidah A Razak

Isu kemiskinan haid yang berlaku di Malaysia telah menjejaskan setiap kategori wanita. Menurut artikel dikeluarkan Utusan Malaysia pada Oktober 2021, ada remaja yang pilih untuk mengandung kerana tidak mampu beli tuala wanita.

Malah, ketika kempen #PeduliMerah digerakkan oleh Gerak Malaysia pada Disember 2019, saudari Sheyliza mendedahkan kepada Gerak Malaysia ada wanita tanpa kerakyatan di Sandakan sanggup melahirkan anak setiap tahun kerana lebih selesa mengandung supaya tidak perlu menghadapi masalah datang bulan dan menanggung kos bulanan tuala wanita.

Saudari Viviantie yang juga sukarelawan aktif dalam membantu komuniti tanpa kerakyatan di Sabah juga mendedahkan perkara yang sama apabila dihubungi Peduli Merah. Sehingga kini, belum ada data kukuh bagi menyokong pendedahan ini. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu berperanan melakukan siasatan lanjut dan penyelesaian terutamanya di Sabah.

Sebelum kita merasakan amat tidak logik pendedahan ini, harus difahami, kebanyakan anak-anak di perkampungan air di Sabah hanya minum air masak bukan susu. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah kerana diskriminasi, kebanyakannya bekerja di pasar dan mengambil upah angkat barang. Kemiskinan haid akan memberi kesan jangka masa panjang jika tidak diberi perhatian serius. Bagi mengupas isu ini dengan lebih mendalam, ikuti wawancara Peduli Merah bersama sosiologis Dr Fatimah Al-Attas pada masa akan datang.

Artikel wawancara ini tidak dibenarkan sama sekali disiar ulang tanpa kebenaran. Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, disarankan berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Oleh: Syiffa Rosman

Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com

Like what you read? Subscribe to my blog.

About the Author: Hannah Nazri

Follow me

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.